.

Rabu, 14 Disember 2016

DARI TINGKAT 14 KE LOKAP







DARI TINGKAT 14 KE LOKAP

Minggu lalu saya menulis bagaimana seorang Pegawai Polis ASP - telah membawa saya dari Tingkat  7 bangunan IPK Kuala Lumpur ke Tingkat 14.

‘ This is very rare… jarang OKT dibawa ke sini…’ .Ini kata-kata ASP Pengiring yang saya tidak tahu namanya.

Betul - memang betul. Keluar sahaja dari lift saya merasakan saya disatu wilayah yang lain dari yang lain. Amat bebeza dari Tingkat 7 - dimana rupa bentuk, perabut dan peralatan sama saperti di Rumah Pasong yang biasa kita lihat.

Tingkat 14 - kemas, teratur dan dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘slick’. Dari kiridor menuju ke ruang induk telah dapat saya rasakan ini tingkat  istimewa. Tidak ada iklan terkoyak atau tertampal tertempel yang menggangu mata. Tidak ada kain langsir koyak didinding koridor. Semua cantik tertur dengan penuh estetika.

Masuk saja ke ruang induk - saya rasakan saya sedang masuk ke bilik CEO Petronas atau bilik CEO syarikat multinasional. Saya lihat perabut dari kayu yang baik. Apakah perabut  dari Itali? Hanya pertanyaan. Pertanyaan ini timbul kerana bilik ini amat-amat berlawanan dengan semua bilik-bilik rumah pasong yang telah pernah saya lawati.

Bilik ini - besar sadikit dari bilik darjah - mungkin dua kali bilik darjah. Ada empat baris meja panjang tersusun. Antara meja dengan meja ada ruang kerusi. Diatas meja panjang  terletak komputer satu persatu. 

Di hadapan setiap komputer kelihatan saorang pegawai polis. Pegawai polis ini tidak ambil pot  ketika saya masuk. Mata mereka memandang komputer. Saya ternampak beberapa orang polis wanita tetapi tidak ramai. Rasa saya lebih dari 30 orang pegawai polis dalam bilik ini. Ada dua tiga pegawai polis tegak berdiri dan berjalan. Semua dalam bilik ini memakai  uniform - kecuali saya yang baru masuk. 

Pada hemat saya ini bilik operasi. Apakah ini  Bilik Ops Bersih atau bilik operasi untuk seluruh Kuala Lumpur. Walah hu alam bissawab.

Saya duduk dihujung meja panjang barisan pertama. Di permulaan meja panjang baris kedua saya ternampak seorang Pegawai Polis. Saya nampak Si Polan ini pegawai tinggi. Tetapi dalam hal pangkat memangkat ini saya kurang arif. Yang  saya amat kenal hanyalah Sang Koperal dan Tok Sarjan. Ini saya kenali dari pengalaman dua tahun duduk  di Kem Kamunting.

Si Polan ini  saya yakin berpangkat besar. Saya ternampak cahaya paku dan bintangnya diatas bahu. Mungkin inilah sosok Ketua Pengarah  OPS Bersih. Saya memerhatikan mukanya dari jauh. Saya tidak kenal.

ASP Pengiring yang membawa saya mengarahkan saya duduk. Pegawai Penyiasat saya masih belum sampai. Saya masih lagi menunggu. Ketika menunggu Si ASP Pengiring terus bertanya beberapa pekara tentang BERSIH. Saya tahu ini juga pertanyan risikan. Tetapi Si ASP ini tidak menuliskan apa-apa yang saya cakapkan. Sebenarnya tidak ada apa-apa rahsia tentang Bersih yang saya miliki. Lalu kami bersembang.

Tetiba masuk sosok yang di tunggu-tunggu - ASP  Tan Shyong Shan dari IPD Dang Wangi. ASP Tan  duduk disebelah kanan. Kini saya diapit oleh dua orang pegawai polis. ASP Tan membuka komputer bimbit. Dia membaca borang yang telah diisi awal tadi di Tingkat 7.

Ketika ASP TAN membaca Pegawai Polis Berbintang memandang kepada arah kami. Pegawai Berbintang mengangkat botol air mineral. ASP Pengiring disebelah kiri bangun dan bergerak keluar. Saya tidak tahu apa yang disignalkan oleh Pegawai Berbintang. 

ASP Pengiring hilang sabentar. Kemudian muncul dengan dua botol kecil air mineral. Satu untuk ASP Tan dan satu diagihkan untuk saya OKT - Orang Kena Tuduh. Wow - ini berbeza dari zaman REFORMASi 1999.

Maka saya bertambah  yakin bahawa  Pegawai Berbintang itu pastilah berpangat tinggi. Hanya dengan mengangkat botol air mineral Si ASP Pengiring telah bangun dan menjalankan tugas. Tanpa apa-apa perkataan. Ini pasti Big Boss.

Satelah air meneral diberikan kepada kami - dua ASP ini bercakap dalam Bahasa China. ASP Pengiring  bangun untuk beredar. Sebelum  beredar kami bersalaman. 

Kini soal siasat saya bermula  dengan ASP Tan. Ini sabenarnya hanya formaliti. Nama dan butiran lain telah daimbil. Soalan yang lain - yang bersangkutan dengan Bersih - saya akan jawab di Mahkamah.

Jawab di Mahkamah -  ini adalah pekara yang wajib diketahui oleh semua aktivis  dan bakal aktivis yang mungkin satu ketika nanti akan ditangkap. Nama dan tarikh lahir tidak perlu dirahsiakan.  Selain dari itu semua pertanyaan saya jawab -  akan dijawab di mahkamah. 

Saya  amat  pergengalaman dalam hal ini. Kali pertama saya di tangkap pada bulan September 1974 di hadapn banguan Setiusaha Kerajaan Johor. Saya ditahan dan dimasukkan ke lokap Johor Baru sebelum di reman satu minggu di Penjara Air Molek. 

Kalau saya ini seluar jean Levis - saya telah ’seasoned’ - lusuh terpakai dan cool. Masuk keluar lokap dan penjara satu pekara biasa.

Tidak sampai satu jam di Tingkat 14 - kami beredar untuk turun kembali ke Tingkat 7.  Dari dinding tingkap kaca saya nampak Kuala Lumpur. Hujan renyai renyai. Jam telah lewat. Saya ternampak bayangan kecil beberapa anak muda berbaju kuning berjalan di Jalan Pudu mengarah ke Hospital Tong Shin. Pada hemat saya BERSIH5 telah selesai.

Di ruang masuk saya terserempak dengan Fahma Reza.  Dia juga ditahan. Lalu saya bertanya dimana dia ditangkap. Untuk beberapa minit Fahmi bercerita. Dia ditangkap di KLCC satelah demo BERSIH5 selesai. Saya bertanya - betul ke Dr Mahathir ada sama.

‘ Ada Mahathir berucap tadi di KLCC…. “

Wow. Jawapan saheh dari Fahmi ini menjadikan saya berfikir sekali lagi. Apakah makna temu bual saya dengan Dr Mahathir untuk Radio Bangsar itu? Apakah temubual itu satu ‘decoy’ yang dijalankan secara licik oleh Mahathir? Wallah hu  allam bissawab.

ASP Tan meningglkan saya kepada pegawai polis Tingkat 7. Dia beredar dan minta saya menunggu. Saya merasa bahawa walau pun semua siasatan telah selesai - saya yakin malam ini saya akan bermalam dilokap. Persoalannya- lokap yang mana?

Saya dibawa masuk ke sebuah lagi bilik. Ini kelihatan saperti bilik rehat kerana saya ternampak satu sosok sedang tidur diatas sofa.

Saya duduk bersendirian. Seorang pegawai polis datang menanya sama ada saya mahu makan atau tidak. Tanpa menunggu jawapan dari saya dia telah meletakan satu bungkusan nasi ayam. Sekali lagi nasi ayam.Ini jauh berbeza dari zaman REFORMASI.

Sedang saya makan tetiba sosok yang terbaring tadi datang duduk disebelah saya. Dia memperkenalkan diri.  Saya panggil dia Amin. Dia tinggal di Keramat. Mengikut Si Amin ini dia telah 37 tahun berkhidmat. Dan tahun depan dia akan pencen.  Bayangkan  hampir keseluruhan hidupnya adalah polis. Si Amin ini bertugas dalam bahagian Jenayah.’

Bila terdengar yang dia dari Jabatan Jenayah saya amat suka hati. Inilah yang saya cari-cari. Saya amat suka mendengar kesah curi, rompak dan tipu daya. Semua ini bahan kreatif untuk saya.

Si Amin bertanya tentang saya. Saya terangkan saya ini menulis. Dia juga ada niat untuk jadi penulis. Tetapi belum mencuba lagi. Saya katakan bahawa saya amat  gumbira dapat bertemu dengan sorang polis  yang telah berkhidmat selama 37 tahun.

‘ Anak berapa orang?’ Soalan biasa yang saya terima disetiap balai polis dan disetiap soal siasat.

‘ Tak ada anak…”

‘ Tak ada rezeki… Isteri dimana?’ Saya mengeleng kepala.

‘ Dah meninggal…’ Saya menggelengkan kepala lagi.

‘ Saya tak ada isteri’

Mata Amin memandang dengan wajah yang tidak percaya. Lalu saya menyelesaikan masalah dengan membuka surah sedih bagaimana isteri saya seorang wanita Sweden. Tetapi saya tidak sanggup membawa Sang Isteri pulang ke Malaysia. 

Manakala saya juga  tak sanggup tinggal di Sweden.

‘ Di Sweden tak ada petai. Saya tak sanggup tinggal disana..”

Si Amin mengucap bila saya selesai bersurah.  Dia percaya betul tentang surah saya ini. Tapi inilah jalan pintas untuk saya menyelesaikan persolaan kenapa Hishamuddin Rais - terus solo hidup bersaorangan.

Si Amin ini tidak tahu sangat siapa saya dan apa latar belakang saya. Ini menjadi perbualan kami lancar. Dia berkesah tentang kehidupan yang susah. Gaji yang kecil. Sewa rumah yang mahal. Membesarkan anak anak ke sekolah. Ini suara hati rakyat biasa.

‘Alhamdulliah… anak anak saya tidak gagal.  Rezeki saya bukan wang haram. Rezeki dari titik peloh saya. Amin berkesah bagaimana dia bersusah payah memastikan anaknya sampai ke universiti.  Bila Amin mengeluarkan ‘rezeki halal ‘ maka saya faham bahawa maknanya ramai anggota polis menerima wang ‘haram’.

‘Kau tahu… saya ini telah berjaya. Kejayaan seorang 
polis bukan pangkat. Kejayaan seorang polis  bukan harta yang dikumpul. Kejayaan seorang polis ialah dia berpencen sebagai anggota polis..’

Wow.  Pada awalnya saya tidak faham apa yang dimaksudkan. Bila saya ulangi kata-kata itu maka saya sedar bahawa Si Amin ini  amat banyak pengalaman dan tinggi  falsafahnya.

Sedang sedap bersembang tetiba saya dipanggil ke luar. Di ruang hadapan Fahmi Reza sedang bercakap dengan seorang  China berseluar hitam dan berbaju puteh dengan tanda Majlis Peguam tergantung dileher. Ini pasti peguam kami.

Tetiba YB Howad Lee muncul dari bilik yang lain. Kami difahamkan oleh Peguam yang kami akan ditahan. Esoknya akan pihak polis mahu mereman kami. Saya terangkan semua telah selesai. Kenyatan bertulis telah diambil. Malah gambar saya pun telah digamkan ke dinding sebagai bahan sejarah. Lalu kami semua ketawa.

Saya menoleh ke dinding dan nampak muka - Nik Nazmi, Pak Samad, Tian Chua, Arman,  Ivay Josiah - apakah muka-muka ini telah ditahan?

Sedang saya mengamati gambar ini muncul Datuk Arman Baju Merah. Ini musuh Baju Kuning. Kami semua tersenyum dan bersalaman sekali lagi.

Peguam kami beredar. ASP Tan muncul dan  memberi arahan bahawa kami turun dan dibawa ke  Rumah Pasong Dang Wangi.  Kami naiki  sebuah van yang pintunya amat susah untuk ditutup. Berakali-kali cuba ditutup tetapi gagal.

‘ Arman.. inilah contoh bujet tak cukup…’ saya melepaskan kata. Semua ketawa. Arman Baju Merah ketawa sama.

Pintu van akhirnya dapat ditutup dan kami begerak. Di Pintu Besar IPK Kuala Lumpur kelihatan beberapa aktivis berdiri memberi semangat setiakawan. Saya ternampak juga beberapa orang Peguam.

Perjalanan ke Dang Wangi tidak susah. Magrib telah lama selesai. BERSIH5 telah tamat. Semua halangan polis telah ditarik kemballi.

Kami tidak digari tapi diiringi oleh ramai polis. Kami masuk ikut pintu belakang.  Kemudian dibawa di bilik lokap. Ditepi pintu lokap saya ternampak seorang lelaki berambut  panjang memakai Baju Kuning Bersih 5 sedang tersadai. Siapa kelaki ini? Tunggu minggu hadapan. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45








---------------------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Biasa lah

Bebudak makan gaji nak jugak klaim kan hujung tahun....

Jangan di buat sate bebudak dua ekor kat rumah tuh sudah

Kalau dah gila melahap , apa apa pun boleh di buat sup punyea

BEWAK tok sah cerita lah

Kan geng Mat Kampau tuh

Tok 4 berkata...

Polis kalau dah nak pencen memang baik atau buat2 baik...mula lah pergi surau dan pakai songkok aji...aidil adha buat korban...naik aji/umrah dan mula le kenal orang kampung. Sebelum tu jalan pun dongak langit...buli orang dalam lokap dan cakap sentiasa mengugut je. Dia tau kalau dah pencen masih buat perangai macam dalam polis alamat kena pelangkung dengan orang kampung le.