Bekas menteri besar Selangor Mohd Khir Toyo menyelar kerajaan kerana mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan krisis keselamatan di pantai timur Sabah yang kini merebak dari Lahad Datu ke kawasan sekitarnya.

"Seingat saya inilah krisis yang mengambil masa paling lama untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa negara sejak peristiwa 13 Mei 1969.

"Kita mempunyai beberapa krisis bersenjata yang membabitkan orang tempatan dan juga pengganas luar seperti situasi Tentera Merah Jepun yang menawan bangunan AIA pada 1975, peristiwa Memali dan peristiwa Sauk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, rakyat kini gusar kerana isu berkenaan berlarutan hampir sebulan dan tidak menampakkan jalan penyelesaian atau kesudahan.

"Sebaliknya, dari situasi hanya terhad di Lahad Datu semata ia telah merebak ke Semporna dan tidak mustahil (ke) daerah lain sekitar sempadan maritim Filipina," katanya.